Monday, November 26, 2012

MALAYSIA 50 SEN DDO !


Penemuan terbaru bagi saya, 50 sen yang mempunyai ciri Doubled Die pada belah hadapan (Obverse).

Dapatkah pembaca mengenalpasti bahagian yang mempunyai ciri-ciri DD? Entri lengkap mengenai syiling ini akan saya kirimkan pada esok hari. Kira ini adalah teaser lah. =)

Wednesday, November 21, 2012

Hanya sekadar 5 sen..


Hari cuti saya isikan masa saya dengan membelek syiling. Hmm kadang difikirkan agak pelik juga diri ini berhibur dengan syiling.

Antara perkara yang seronok tentang kehidupan adalah kehidupan tidak boleh dijangka - bak kata pepatah, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Faktor kejutan - sama ada ianya kejutan yang mengujakan atau kejutan yang mendukacitakan membuatkan perjalanan hidup kita lebih "terisi".

Hendak pula dikaitkan dengan hobi saya ini - kejutan juga muncul dalam saya melayan hobi mengumpul syiling ini. Merujuk kepada di atas, sudah tentu ianya kejutan yang mengujakan Pembaca boleh klik gambar untuk paparan yang lebih jelas.

Hanya dengan beberapa puluh keping 5 sen yang saya dapat daripada rakan saya, 6 keping 5 sen seperti di atas berjaya ditarik keluar daripada edaran untuk menginap di dalam tempat yang sepatutnya bagi mereka - album saya. =D

Semakin pengetahuan tentang numismatik bertambah, semakin luas jenis dan kategori koleksi yang boleh dicari dalam syiling edaran. Kebiasaanya pengumpul akan bermula dengan mencari syiling keydate. 6 keping 5 sen di atas adalah kebanyakkan termasuk dalam niche error&variety (E&V).

Perkongsian khusus setiap syiling di bawah akan saya kongsi dalam kiriman akan datang. Ada pembaca yang ingin meneka nama-nama untuk keenam-enam syiling di atas ?

Friday, November 16, 2012

mengimbau kembali kenangan 1 sen


Syiling 1 sen yang berwarna tembaga ini semakin jarang dapat kita lihat. Mungkin kadang-kadang boleh kita jumpa di kedai runcit atau kedai menjual peralatan telefon, diletakkan sekeping dua di atas meja khas untuk pelanggan menggores kad prabayar telefon.

Nampaknya syiling 1 sen ini dilayan seakan tidak berharga, akan tetapi tahukah mereka sebenarnya hanya syiling 1 sen sahaja yang setakat ini "bernilai" lebih tinggi daripada nilai mukanya. Inilah sebab utama 1 sen diberhentikan pengeluaran selepas didapati kos membuat syiling 1 sen lebih tinggi daripada 1 sen untuk setiap keping.

Masih ingat lagi saya ketika saya di Tingkatan 2, yang pada tika itu saya menjadi Ketua Kelas di mana kelas kami mengambil bahagian dalam pertandingan mengumpul syiling 1 sen. Pertandingan yang dianjurkan oleh sekolah itu hendak melihat kelas manakah yang berjaya mengumpul syiling 1 sen yang paling banyak sekali. Saya yang pada ketika itu sudah menjadi pengumpul suka-suka mempunyai dalam sebalang penuh 1 sen, terus saya memberikan kepada kelas untuk pertandingan itu. Tidak cukup dengan itu, Penolong Ketua Kelas saya pada masa itu, meminta setiap seorang RM2 untuk ditukarkan ke bank kepada 1 sen supaya peluang kami untuk menang semakin kuat. Alhamdulilah kelas kami menang dan kami mendapat hadiah wang tunai RM200. Terima kasih cik Nadhirah :)

Selepas beberapa bulan pertandingan berlalu, pihak sekolah membuat satu arca KLCC menggunakan 1 sen daripada pertandingan itu. Entah berapa banyak syiling error dan DD yang berada dalam arca KLCC itu, mungkin juga ada 1 sen 1970, atau mungkin 1 sen 1976 Kuprum?. Hehe

Adakah anda mempunyai kenangan dengan syiling 1 sen ini? Apa kata kongsikan dengan saya di ruangan komen di bawah. :)

Sunday, November 11, 2012

lagi 10 sen 2007 ddr monster!


Pencarian yang tak henti-henti akhirnya menemukan saya dengan sebiji lagi 10sen2007 DDR. Boleh dilihat dengan jelas pergandaan yang berlaku pada variti DD ini adalah yang terbesar antara rakan-rakannya.

Ramai antara rakan saya yang pada mulanya tidak perasan apakah yang istimewa dengan syiling ini pada sekali pandang, akan tetapi selepas melihat dengan sedikit teliti, mereka mula mengesyaki yang mata mereka kabur kerana melihat adanya pergandaan pada bahagian kiri muka belakang syiling ini.

Pergandaan pada syiling ini, terutamanya yang paling jelas boleh dilihat pada angka 20 adalah bukan disebabkan dua kali cetak, akan tetapi ianya disebabkan cetakan yang dibuat oleh acuan yang telah mengalami ralat ketika proses pembuatannya.

Spesimen 10sen2007DDR pertama saya.

Tuesday, November 6, 2012

LAGI 1 SEN 1980 DDR



Spesimen kedua saya untuk 1 sen 1980 DDR. Suka hati saya melihat keadaan syiling ini yang masih dalam gred yang tinggi dengan masih ada kekilatan di kedua-dua belah.

Nampaknya untuk yang sini, ada sedikit kecacatan mirip die gouges pada kawasan sekitar angka 80. Berbeza dengan spesimen pertama saya sebelum ini.

Ramai yang bertanyakan kepada saya apakah yang dimaksudkan dengan DDR, dan apakah yang menarik dan istimewa mengenai syiling ini?



Apa itu DDR?


       "DDR" sebenarnya adalah singkatan daripada perkataan "Doubled Die Reverse". Terma Doubled Die merujuk kepada sejenis varieti syiling di mana acuan yang digunakan untuk mencetak syiling telah mempunyai gandaan pada rekabentuknya. Manakala perkataan reverse pula merujuk kepada di bahagian manakah gandaan berlaku pada syiling. Untuk kes 1 sen 1980 ini, gandaan berlaku pada bahagian belakang (reverse) syiling - lihat anak panah yang berwarna kuning. Klik pada gambar untuk pembesaran.

Apakah yang menarik dan istimewa untuk syiling DDR?


          Fenomena DDR sebenarnya walaupun dikelaskan sebagai varieti, akan tetapi ianya melibatkan ralat - atau error yang berlaku ketika proses pembuatan acuan. Sebagaimana niche koleksi numismatik yang lain, variasi Doubled Die ini biasanya dikumpul oleh pengumpul kerana keunikannya yang menghasilkan gandaan bertindih yang cantik dan juga faktor kejarangannya untuk dijumpai berbanding syiling normal.

        Niche pengumpulan syiling DD begitu hangat di US - di mana ianya terjual dengan harga ribuan USD. Untuk pembaca yang berminat, boleh melayari di sini senarai syiling yang paling berharga di US yang dijumpai di dalam kocek, dan juga info mengenai 1 sen Lincoln 1955 DD - yang sering kali dipanggil "The Mother of All Doubled Die".

    Pengumpul syiling Malaysia bertuah kerana syiling edaran Malaysia mempunyai banyak variasi Doubled Die dan kebanyakannya bertaraf monster.  Untuk melihat variasi DD yang saya jumpai, boleh klik di sini. Saya pasti lebih banyak lagi variasi DD yang masih belum dijumpai di luar sana. Untuk mempelajari mengenai konsep bagaimana DD berlaku, boleh melawat nota yang ditulis oleh blogger depankanta

( info: monster adalah nama panggilan/ nama jolokan yang diberi oleh pengumpul dan pengkaji syiling US kepada variasi DD yang mempunyai gandaan yang ketara).







Perkongsian daripada blogger depankanta dan analisis teknikal saya di sini.

Friday, November 2, 2012

5 sen 1982 DDR die crack terjual di ebay USD50

kredit gambar daripada ebay Malaysia
     Penemuan varieti Doubled Die bagi sahaja bukan sahaja daripada pencarian sendiri dan pencarian rakan-rakan, malah juga dengan melihat kepada aktiviti jualan secara online. Amat jarang rasanya variti DD syiling Malaysia dijual secara online, mungkin kerana niche variti masih baru di kalangan pengumpul dan penggemar numismatik.

    Baru-baru ini saya amat teruja melihat akan sebiji 5 sen 1982 yang mempunyai variti Doubled Die yang belum pernah saya lihat. Gandaan yang menyeluruh dan jelas ini, jika boleh diperoleh oleh saya dan ditangkap menggunakan kamera yang lebih bagus tentu amat cantik. Akan tetapi sayangnya dek kesibukan Hari Raya Haji saya terlupa untuk mengintip syiling ini dan menjadi tuan barunya. Sayangnya setelah dirisik, nampaknya syiling DD yang bagi saya amat cantik ini akan terbang menuju ke US berjumpa tuan barunya. Sedih juga melihat syiling DD kita direbut oleh orang luar.

   Seperti yang boleh dilihat di bawah, syiling ini terjual dengan harga termasuk kos pengeposan sebanyak USD50, kira-kira RM150. Nampaknya jika semakin ramai yang tahu akan variti Doubled Die ini, mungkin 5 sen 1982 ini menjadi antara koleksi buruan yang berharga.
harga tutup di eBay


   Tambah membuatkan syiling ini comel adalah dengan wujudnya die crack pada huruf E.

   Jika diberi peluang untuk memiliki salah satu daripada 2 pilihan - 5sen1982 extra dot dan 5sen1982DDR+DieCrack di atas, yang manakah akan anda pilih?

Thursday, November 1, 2012

MALAYSIA 1 sen 1980 DDR

muka depan 1 sen 1980

anak panah menunjukkan gandaan pada SEN dan 1980

juga boleh dilihat gandaan pada bunga raya


        Akhirnya perasaan yang hampir kecewa dan putus asa selepas meneliti 9500 keping 1 sen diubati dengan satu spesimen DDR yang saya jumpa ini. Agak pelik juga saya kenapa hampir 10 ribu keping 1 sen yang saya periksa, tiada satu pun daripada tahun yang sedikit keluarannya - keydate - iatu 1968 dan 1970. Mungkin DDR yang ini tahu saya sedang memburunya. =D

     Analisis percubaan saya untuk syiling ini boleh dibaca melalui entri saya di blog teknikal khusus yang baru saya usahakan.

    Walaupun gandaan ini boleh dilihat dengan agak jelas pada gambar yang saya paparkan di atas, akan tetapi secara langsungnya gandaannya agak sukar untuk dilihat, biarpun dengan mata saya yang sihat ini. Antara petua yang boleh saya kongsi adalah dengan melihat pada angka 0 - jika angka 0 nya nampak seperti macam tidak sempurna, besar kemungkinan ianya adalah syiling DDR ini. Oh ya, sudah tentu penggunaan kanta pembesar amat-amat membantu dan ianya juga mengelak mata anda daripada rosak.

    Seperti biasa ingin lagi saya nasihatkan kepada pengumpul yang ingin memburu syiling ini, pastikan memburu dengan keadaan yang segar, persekitaran yang tenang dan cukup cahaya. Dan satu lagi selepas membelek syiling 1 sen, terus basuh tangan dengan segera kerana mengikut pengalaman saya, debu logam dan kotoran daripada syiling boleh melekat dengan banyak pada tangan kita selepas membelek syiling dalam kuantiti yang banyak.

    Saya pasti blogger depankanta tentu senang hati melihat ada juga adik-beradik syiling beliau dijumpai oleh saya. Baca ulasan 1sen1980DDR beliau di sini. =)