Thursday, October 18, 2012

LAGI VARIETI DOUBLED DIE 5 SEN 2009 DDR

doubling pada stigma dan huruf ALA (gambar dari saudara Kuan Seng)

Bagi pengumpul syiling variti Doubled Die, tentu penemuan baru seperti ini amat dinanti-nanti. Kebelakangan ini disebabkan semakin ramai yang mula berminat untuk mengumpul syiling variti Doubled Die, semakin ramai "pemburu" yang bertugas untuk mencari varieti-varieti Doubled Die yang tersorok dalam edaran.

Baru-baru ini rakan facebook saya, saudara Kuan Seng nampaknya bertuah dapat menemui satu lagi variti baru Doubled Die bagi syiling Malaysia. Boleh dilihat daripada gambar di atas, gandaan amat jelas dilihat pada stigma bunga raya di mana notching dan lembah (valley) dapat di lihat di antara gandaan device.

Sayang sekali untuk spesimen ini ianya kemungkinan adalah daripada "later die state doubling" iatu hasil cetakan daripada acuan yang sudah lama digunakan. Harapnya ada spesimen yang terhasil daripada awal cetakan acuan yang mempunyai cetakan yang lebih baik boleh dijumpai.

Gandaan pada syiling varieti ini nampaknya boleh dilihat pada kawasan stigma dan kawasan ke atas stigma menuju ke arah huruf ALA dalam perkataan MALAYSIA. Akan tetapi disebabkan keadaan acuan yang sudah lama, kebanyakan gandaan pada kawasan berdekatan rim ini tidak dapat dilihat dengan lebih jelas akibat diganggu oleh metal flowlines.

Ada sesiapa di sini dah menjumpai variti Doubled Die ini? Mari kongsikan di sini. Tapi awas, membelek syiling 5 sen dalam kuantiti yang banyak boleh menjejaskan kesihatan mata anda. Sentiasa pastikan rehat yang cukup dan belek syiling di tempat yang terang dan selesa. =)

Monday, October 15, 2012

Syiling Johor Lama Keton SS32 BERLUBANG BERBENTUK HATI


Rajah 1: Syiling Keton Johor SS32



       Ketika saya sedang meneliti koleksi syiling keton saya, terpandang saya akan satu spesimen yang bagi saya agak comel ini. Keton yang di atas adalah terdiri daripada jenis heksagonal dengan dot di tengah tengahnya (nombor rujukan SS32 daripada buku The Encylopedia of Coins of Malaysia, Singapore and Brunei 1600 - 1967). Jenis ini adalah jenis yang paling biasa dijumpai.


      Bagi syiling lama seperti ini, adalah normal berlaku ralat ketika proses penempaannya. Lubang yang terdapat pada keton ini adalah berasal daripada ralat penempaan - mungkin acuan tidak cukup panas lantas menyebabkan timah yang dalam keadaan cecair tidak masuk sepenuhnya ke dalam acuan. Mungkin juga terdapat udara yang terperangkap di dalam acuan ketika proses penempaan dilakukan.

    Kebetulan pula bentuk lubang yang terjadi akibat ralat tersebut membentuk seakan lambang hati. Lambang hati sering dikaitkan dengan kasih sayang, cinta dan suka akan sesuatu atau seseorang.

Lambang hati

     Teringat kata-kata guru Sains saya ketika bersekolah dahulu. Kata beliau, " hati yang ikhlas mesti besar sebelah". "Kenapa ya hati yang ikhlas mesti besar sebelah?", aju saya kepada Puan Cheong. Kemudian barulah saya tahu, hasil ajaran beliau, bahawa hati (yang sebenarnya merujuk kepada jantung) secara normalnya besar sebelah kerana perbezaan ketebalan otot yang ada pada jantung. Otot yang lebih tebal diperlukan di sebelah kiri untuk mengepam darah ke seluruh badan kita manakala otot di sebelah kanan lebih nipis kerana hanya diperlukan untuk mengepam darah ke paru-paru.

   Menarik apabila koleksi numismatik boleh dikaitkan dengan pengetahuan dalam bidang lain. Selamat mengumpul dan lukislah hati yang besar sebelah kepada orang yang tersayang pada masa akan datang. From Johor with love!


gambar jantung manusia



Friday, October 5, 2012

Matawang Kedah Ayam Timah 1 sen


     Merujuk kepada karya Saran Singh, The Encylopedia of Coins of Malaysia, Singapore and Brunei 1700-1967, matawang di atas adalah daripada jenis matawang yang diperkenalkan di negeri Kedah. Dikeluarkan pada era Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muazzam Shah (1710-1773), objek berbentuk gelung kecil ini yang diperbuat daripada timah ini pernah digunakan sebagai alat pertukaran matawang.

    Matawang ini yang pada asalnya bersambung dengan gelung-gelung yang lain digunakan berbeza mengikut bilangan gelung yang terdapat pada sesuatu set. Satu gelung seperti dalam gambar di atas adalah bernilai satu sen daripada Dollar Sepanyol. Spesimen 5 gelung yang masih bersambung yang bernilai 5 setengah sen boleh dilihat daripada kiriman saya sebelum ini. Apabila hendak digunakan dalam pecahan kecil, 1 sen contohnya, gelung ini akan dipatahkan daripada tangkai asalnya.

     Matawang ini direkodkan masih digunakan sebagai matawang pada akhir tahun 1850-an di mana ianya diniagakan setara satu sen bersamaan dengan nilai sepuluh keping syiling pedagang Keping.

    Kedua-dua spesimen matawang Kedah ini dijumpai di Kota Tinggi, Johor. Besar kemungkinan matawang ini dijumpai di sini hasil daripada aktiviti perdagangan antara negeri pada zaman dahulu kala. Terdapat juga teori daripada beberapa pengkaji matawang Kesultanan Melayu yang berpendapat bahawa ada kemungkinan negeri Johor juga turut mengeluarkan matawang seumpama ini kerana terdapat banyak spesimen ditemui di negeri Johor.

   Selain daripada di Johor dan Kedah, matawang jenis ini juga dapat dijumpai di Sumatera, Indonesia, terutamanya di dalam perairan Sungai Musi.