Friday, October 5, 2012

Matawang Kedah Ayam Timah 1 sen


     Merujuk kepada karya Saran Singh, The Encylopedia of Coins of Malaysia, Singapore and Brunei 1700-1967, matawang di atas adalah daripada jenis matawang yang diperkenalkan di negeri Kedah. Dikeluarkan pada era Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muazzam Shah (1710-1773), objek berbentuk gelung kecil ini yang diperbuat daripada timah ini pernah digunakan sebagai alat pertukaran matawang.

    Matawang ini yang pada asalnya bersambung dengan gelung-gelung yang lain digunakan berbeza mengikut bilangan gelung yang terdapat pada sesuatu set. Satu gelung seperti dalam gambar di atas adalah bernilai satu sen daripada Dollar Sepanyol. Spesimen 5 gelung yang masih bersambung yang bernilai 5 setengah sen boleh dilihat daripada kiriman saya sebelum ini. Apabila hendak digunakan dalam pecahan kecil, 1 sen contohnya, gelung ini akan dipatahkan daripada tangkai asalnya.

     Matawang ini direkodkan masih digunakan sebagai matawang pada akhir tahun 1850-an di mana ianya diniagakan setara satu sen bersamaan dengan nilai sepuluh keping syiling pedagang Keping.

    Kedua-dua spesimen matawang Kedah ini dijumpai di Kota Tinggi, Johor. Besar kemungkinan matawang ini dijumpai di sini hasil daripada aktiviti perdagangan antara negeri pada zaman dahulu kala. Terdapat juga teori daripada beberapa pengkaji matawang Kesultanan Melayu yang berpendapat bahawa ada kemungkinan negeri Johor juga turut mengeluarkan matawang seumpama ini kerana terdapat banyak spesimen ditemui di negeri Johor.

   Selain daripada di Johor dan Kedah, matawang jenis ini juga dapat dijumpai di Sumatera, Indonesia, terutamanya di dalam perairan Sungai Musi.

  

1 comments:

Dato Sharuddin bin Yusof DIMP,AMP said...

Salam Tuan
Diakhir-akhir ini banyak matawang ayam timah telah dijumpai di Kota Tinggi Johor. Saya ada juga memiliki beberapa koleksi ayam timah yang dijumpai di Kota Tinggi Johor seperti yang saya paparkan dalam blog saya sharuddin58.blogspot.com..Galeri Sha Banknote..
Matawang Ayam timah yang dijumpai di Kota Tinggi Johor adalah tempaan bentuk ayam jantannya agak kurus berbanding dengan Matawang Ayam timah Kedah lebih gemuk dan besar. Beberapa pendapat mengatakan bahawa duit ayam timah yang dijumpai di Johor ini adalah dari Sumatera.
Dan ada yang sedang buat perbandingan mengatakan Duit Ayam ini ada kemungkinan besar adalah duit ayam daripada Pemerintahan Kesultanan Negeri Johor sendiri.
Terima kasih Wallahuwalam.

Post a Comment