Sunday, November 11, 2012

lagi 10 sen 2007 ddr monster!


Pencarian yang tak henti-henti akhirnya menemukan saya dengan sebiji lagi 10sen2007 DDR. Boleh dilihat dengan jelas pergandaan yang berlaku pada variti DD ini adalah yang terbesar antara rakan-rakannya.

Ramai antara rakan saya yang pada mulanya tidak perasan apakah yang istimewa dengan syiling ini pada sekali pandang, akan tetapi selepas melihat dengan sedikit teliti, mereka mula mengesyaki yang mata mereka kabur kerana melihat adanya pergandaan pada bahagian kiri muka belakang syiling ini.

Pergandaan pada syiling ini, terutamanya yang paling jelas boleh dilihat pada angka 20 adalah bukan disebabkan dua kali cetak, akan tetapi ianya disebabkan cetakan yang dibuat oleh acuan yang telah mengalami ralat ketika proses pembuatannya.

Spesimen 10sen2007DDR pertama saya.

Tuesday, November 6, 2012

LAGI 1 SEN 1980 DDR



Spesimen kedua saya untuk 1 sen 1980 DDR. Suka hati saya melihat keadaan syiling ini yang masih dalam gred yang tinggi dengan masih ada kekilatan di kedua-dua belah.

Nampaknya untuk yang sini, ada sedikit kecacatan mirip die gouges pada kawasan sekitar angka 80. Berbeza dengan spesimen pertama saya sebelum ini.

Ramai yang bertanyakan kepada saya apakah yang dimaksudkan dengan DDR, dan apakah yang menarik dan istimewa mengenai syiling ini?



Apa itu DDR?


       "DDR" sebenarnya adalah singkatan daripada perkataan "Doubled Die Reverse". Terma Doubled Die merujuk kepada sejenis varieti syiling di mana acuan yang digunakan untuk mencetak syiling telah mempunyai gandaan pada rekabentuknya. Manakala perkataan reverse pula merujuk kepada di bahagian manakah gandaan berlaku pada syiling. Untuk kes 1 sen 1980 ini, gandaan berlaku pada bahagian belakang (reverse) syiling - lihat anak panah yang berwarna kuning. Klik pada gambar untuk pembesaran.

Apakah yang menarik dan istimewa untuk syiling DDR?


          Fenomena DDR sebenarnya walaupun dikelaskan sebagai varieti, akan tetapi ianya melibatkan ralat - atau error yang berlaku ketika proses pembuatan acuan. Sebagaimana niche koleksi numismatik yang lain, variasi Doubled Die ini biasanya dikumpul oleh pengumpul kerana keunikannya yang menghasilkan gandaan bertindih yang cantik dan juga faktor kejarangannya untuk dijumpai berbanding syiling normal.

        Niche pengumpulan syiling DD begitu hangat di US - di mana ianya terjual dengan harga ribuan USD. Untuk pembaca yang berminat, boleh melayari di sini senarai syiling yang paling berharga di US yang dijumpai di dalam kocek, dan juga info mengenai 1 sen Lincoln 1955 DD - yang sering kali dipanggil "The Mother of All Doubled Die".

    Pengumpul syiling Malaysia bertuah kerana syiling edaran Malaysia mempunyai banyak variasi Doubled Die dan kebanyakannya bertaraf monster.  Untuk melihat variasi DD yang saya jumpai, boleh klik di sini. Saya pasti lebih banyak lagi variasi DD yang masih belum dijumpai di luar sana. Untuk mempelajari mengenai konsep bagaimana DD berlaku, boleh melawat nota yang ditulis oleh blogger depankanta

( info: monster adalah nama panggilan/ nama jolokan yang diberi oleh pengumpul dan pengkaji syiling US kepada variasi DD yang mempunyai gandaan yang ketara).







Perkongsian daripada blogger depankanta dan analisis teknikal saya di sini.

Friday, November 2, 2012

5 sen 1982 DDR die crack terjual di ebay USD50

kredit gambar daripada ebay Malaysia
     Penemuan varieti Doubled Die bagi sahaja bukan sahaja daripada pencarian sendiri dan pencarian rakan-rakan, malah juga dengan melihat kepada aktiviti jualan secara online. Amat jarang rasanya variti DD syiling Malaysia dijual secara online, mungkin kerana niche variti masih baru di kalangan pengumpul dan penggemar numismatik.

    Baru-baru ini saya amat teruja melihat akan sebiji 5 sen 1982 yang mempunyai variti Doubled Die yang belum pernah saya lihat. Gandaan yang menyeluruh dan jelas ini, jika boleh diperoleh oleh saya dan ditangkap menggunakan kamera yang lebih bagus tentu amat cantik. Akan tetapi sayangnya dek kesibukan Hari Raya Haji saya terlupa untuk mengintip syiling ini dan menjadi tuan barunya. Sayangnya setelah dirisik, nampaknya syiling DD yang bagi saya amat cantik ini akan terbang menuju ke US berjumpa tuan barunya. Sedih juga melihat syiling DD kita direbut oleh orang luar.

   Seperti yang boleh dilihat di bawah, syiling ini terjual dengan harga termasuk kos pengeposan sebanyak USD50, kira-kira RM150. Nampaknya jika semakin ramai yang tahu akan variti Doubled Die ini, mungkin 5 sen 1982 ini menjadi antara koleksi buruan yang berharga.
harga tutup di eBay


   Tambah membuatkan syiling ini comel adalah dengan wujudnya die crack pada huruf E.

   Jika diberi peluang untuk memiliki salah satu daripada 2 pilihan - 5sen1982 extra dot dan 5sen1982DDR+DieCrack di atas, yang manakah akan anda pilih?